Header Ads

Misteri Mimpi 30 tahun tak terungkai

Penyeldik Jabatan Muzium dan Antikuiti didatangi lelaki tua, berserban dan berjubah putih selepas tidur di kubur lama

GELAP malam menyelubungi kawasan hutan itu. Pelbagai bunyi aneh didengari yang sesetengahnya tidak dapat diterjemah akal fikir penyelidik Jabatan Muzium dan Antikuiti, Othman Mohd Yatim.




Penyeldik Jabatan Muzium dan Antikuiti didatangi lelaki tua, berserban dan berjubah putih selepas tidur di kubur lama

GELAP malam menyelubungi kawasan hutan itu. Pelbagai bunyi aneh didengari yang sesetengahnya tidak dapat diterjemah akal fikir penyelidik Jabatan Muzium dan Antikuiti, Othman Mohd Yatim.

Pemuda itu terus duduk di kawasan kelam sambil memandang tepat puluhan nesan yang berceracak di hadapannya. Pandangannya tidak dialihkan ke mana-mana lagi. Unggun api yang semakin malap membantunya melihat panorama kawasan kubur yang terselindung di sebalik kegelapan malam.

Malam berganjak mencecah tengah malam. Kata orang, waktu sebegitu paling diminati makhluk halus untuk merayau lebih-lebih lagi di perkuburan.

Othman membatukan diri. Dingin malam menyelubungi sekitar kubur misteri yang tersembunyi di tengah belantara serta jauh dari penempatan manusia itu.

Seketika dia bangkit. Matanya menoleh ke belakang memandang tiga khemah dihuni lapan ahli ekspedisinya - masing-masing seorang jurugambar dan pelukis serta rakan penyelidik dan pembantu.

Semua rakannya sudah lama lena. Othman tersenyum mengenangkan riak wajah temannya tatkala dia mencadangkan bermalam di kubur itu.

Bermain dengan unsur alam mistik seumpama sengaja mencari penyakit. Dan ‘penyakit’ itu tidak mungkin diubati kaedah perubatan moden; mungkin rakannya khuatir bahaya itu akan menimpa mereka.

Akhirnya semua ahli ekspedisi bersetuju bermalam di situ lalu memacak khemah tatkala matahari semakin menghala ke Barat.

Othman melangkah menuju sebuah kubur misteri yang mengganggu ketenangannya sejak petang. Asyik benar dia memikirkan persoalan terselindung di sebalik sejarah kubur usang berkenaan.

Tiba-tiba, pandangannya terlihat seakan satu bentuk aneh dalam gelap. Segera dialihkan pandangannya dan terus menuju kubur itu. Sebaik sampai, dia duduk di sisi kubur sambil memegang nesan jenis ‘Batu Acheh’ yang terasa pejal.

“Kubur siapa?” Dahi Othman berkerut memikirkan persoalan itu. Bebola matanya terus memaku pandangan ke nesan kubur misteri di hadapannya. Dia masih kehairanan; mindanya dipenuhi tanda tanya tatkala melihat lebih 10 kubur purba tersembunyi dalam belantara tebal berkenaan.

Tiada maklumat pada nesan menyebabkan penyelidik itu mengerut dahi memikirkan siapa ditanam di kubur berkenaan dan usia kubur itu.

“Apa orang kampung kata?” tanyanya sambil memandang ahli ekspedisi.

“Mereka pun tak tahu ada kubur dalam hutan ni,” jawab seorang daripada rakan penyelidik yang ditugaskan menemuramah penduduk sekitar bagi mendapatkan maklumat.

“Cerita legenda setempat pun tak ada?” tanyanya lagi. Berdasarkan pengalaman mengkaji kubur misteri lain sebelum ini, penduduk setempat lazimnya mengaitkan kubur tidak diketahui dengan cerita mistik dan misteri.

Beliau masih ingat kubur misteri dikenali ‘Makam Tok Subang’ dikajinya di Perak didakwa masyarakat setempat milik puteri teraniaya dan ketika dibunuh, darah putih mengalir dari lukanya.

Othman masih menunggu jawapan tapi rakan penyelidiknya tetap menggeleng. Fikirannya mengimbau beberapa fakta yang ditemui sepanjang kajian - kewujudan nesan Batu Acheh di Malaysia membuktikan masyarakat Acheh sudah menyeberang Selat Melaka untuk sampai di tanah semenanjung seawal abad ke-15.

Pemuda Acheh pada zaman itu memiliki tabiat pelik ketika berkelana ke tanah asing; mereka membawa dua batu nesan bersama persiapan lain. Mereka seolah-olah bersedia mati di tanah asing. Satu lagi tujuan nesan itu untuk mengimbangi kapal ketika merentas Selat Melaka.

“Mungkin kubur ini milik pemuda Acheh,” getus hati kecilnya, “Tapi kubur siapa?” Fikirannya segera meningkah pendapat pertama. Selain pemuda Acheh, penghasilan nesan bercorak Batu Acheh sudah terserap dalam budaya Melayu tanah semenanjung selepas berabad batu itu dibawa ke sini. Tetapi bezanya, dalam budaya Melayu tempatan, Batu Acheh hanya digunakan sebagai nesan jenazah penduduk setempat yang memiliki darjat tertinggi dalam sesuatu komuniti.

“Mungkin ini kubur bangsawan atau pemimpin penduduk setempat... Tapi kubur siapa?” Othman terus hilang dalam pertelingkahan ideologinya.

Kemudian Othman melakukan sesuatu di luar jangka, dia memegang kejap sambil merenung tepat ke nesan penuh ukiran itu. Ketika unggun api semakin suram, dia mula berkata-kata seolah-olah berbicara dengan mayat yang sudah lama ditanam dalam kubur itu.

“Wahai mayat, saya tidak mengetahui siapa saudara tetapi saya terlalu ingin mengenali saudara. Lalu saya mengambil keputusan tidur di sisi saudara dan berharap sudilah kiranya saudara hadir dalam mimpi saya.”

Othman kemudian berbaring di sisi dua lagi rakannya, seketika kemudian dia terlelap.

Entah berapa lama dia tertidur, tidak dia sedari. Tetapi sedar-sedar dia berada di satu lembah asing. Dia mengerut dahi kehairanan melihat sekeliling. Seketika kelihatan lelaki tua menghampirinya. Diamatinya lelaki itu mengenakan jubah dan serban putih serta memiliki janggut panjang.

“Siapakah saudara?” tanya Othman. Diam. Selepas pertanyaannya tidak dijawab, ditanya lagi berulang kali tetapi lelaki itu tetap membisu. Beberapa lama berdiri di hadapan Othman, lelaki misteri itu beredar tanpa mengucapkan sepatah kata.

Othman cuba menghalang pemergian lelaki itu tetapi tidak dipedulikan. Dan laungannya melangkau dari alam mimpi ke alam realiti sehingga tersedar dia daripada tidur dalam keadaan berdebar-debar. Bingkas dia terduduk daripada pembaringan.

“Astaghfirullah ‘alazim (Aku bermohon ampun dari Allah Maha Besar)” Othman beristighfar panjang. Dia tertanya-tanya siapakah lelaki misteri yang hadir dalam mimpinya. Adakah lelaki itu pemilik kubur berkenaan? Tetapi kenapa lelaki itu tidak menjawab sebarang pertanyaannya?

Kemudian dia menyedari sesuatu yang aneh! Semua lapan rakannya terbaring dalam khemahnya. Dia kehairanan, sebentar tadi khemah mereka dihuni tiga orang tetapi kini sembilan orang! Siapa yang mengangkat rakannya dari dua khemah lain dan meletakkan mereka dalam khemahnya? Bulu romanya meremang, dirinya terasa seram sejuk.

Keesokannya, Othman dan ahli ekspedisi segera meninggalkan tanah perkuburan berkenaan. Selepas didatangi mimpi itu, beliau demam hampir seminggu. Entah apa puncanya, dia tidak pasti. Mungkin akibat faktor ghaib dan mistik dari kawasan kubur itu, fikirnya.

Kini, selepas 30 tahun, Othman yang kini Pemegang Kursi Bahasa Melayu Victoria University of Wellington, New Zealand dan bergelar Prof Dr Othman Mohd Yatim, masih tertanya-tanya - siapakah lelaki yang hadir dalam mimpinya itu?

PROFIL:
Prof Dr Othman Mohd Yatim

Tarikh dan tempat lahir: 6 Disember 1949 di Kampung Teluk, Lumut, Perak.

Kerjaya: Penyelidik Jabatan Muzium dan Antikuiti (1974); Sarjana dan Doktor Falsafah University of Durham, England (1977-1982); pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (API-UM); Pengarah Muzium Seni Asia UM; dilantik Pemegang Kursi Bahasa Melayu Victoria University of Wellington, New Zealand, bermula tahun ini.

Penyelidikan: Lebih 300 kubur nesan Batu Acheh di Johor, Perak, Melaka, Kedah, Perlis, Terengganu dan Pahang sehingga ke Brunei; Pattani, Thailand; Pulau Sulu dan beberapa wilayah di Indonesia dari 1974 hingga 1977. Ada 14 jenis nesan Batu Acheh dari abad ke-15 hingga ke-19. Nesan Batu Acheh berasal dari Acheh tetapi kebanyakan nesan di wilayah itu hilang akibat tsunami 2004.

Rujukan: Berita Minggu 4.3.2007
Oleh Nasron Sira Rahim

No comments

Powered by Blogger.