Kisah Pengajaran Gara-Gara Suka Menipu Untuk Mendapatkan Wang Seorang Lelaki Lumpuh
Setiap manusia yang hidup di dunia ini memerlukan wang. Bagi manusia
bijak, mereka akan berusaha mencari wang dengan cara yang baik dan
halal. Bagi manusia yang berfikir sepintas lalu, lain pula ceritanya.
Mereka sanggup menipu sesiapa sahaja yang dikira boleh 'dimakannya' demi
mendapatkan kesenangan dengan cara mudah.
Namun manusia yang hidup dalam kejahatan tidak akan selamat. Apabila
tiba waktunya, mereka pasti menerima padah dari perbuatan jahatnya
sendiri ketika hidup di dunia ini lagi. Ketika itu barulah diketahui
tinggi rendahnya langit, sehingga menyebabkan individu terbabit hidup
dalam penyesalan berpanjangan.
Kamaruddin Alias, 50, (bukan nama sebenar) mengakui pada masa lalu,
beliau pernah melakukan penipuan untuk mendapatkan kekayaan. Akibatnya,
beliau kini terlantar di rumahnya kerana mengalami sakit lumpuh. Untuk
mengetahui kisahnya, hayatilah pengakuannya seperti yang diceritakan
oleh beliau sendiri."Kegiatan penipuan telah mula saya jalankan sejak berumur 20 tahun.
Ketika itu, saya hanya melakukan penipuan 'kecil-kecilan' sahaja dengan
melibatkan jumlah wang yang kecil dalam lingkungan puluhan ringgit
saja Kegiatan itu saya lakukan terhadap kawan2 saya sendiri."
"Untuk melakukan penipuan, saya mesti bijak memilih orang. Orang yang
selalu menjadi mangsa saya bukanlah orang bodoh. Mereka turut tergolong
dalam golongan orang cerdik dan yang berpelajaran. Lebih jauh dari itu,
mereka tergolong dalam golongan orang berada.
Namun yang menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa saya kerana mereka
itu mudah terpengaruh dengan cakap-cakap penipu macam saya.
"Hasil dari kejayaan melakukan penipuan 'kecil-kecilan' itu, saya terus
terangsang untuk beralih kepada kegiatan penipuan lebih besar yang
melibatkan penjualan tanah. Tanah tersebut sebenarnya tanah orang,
bukannya tanah saya. Saya hanya berpura-pura menjadi 'broker'. Kaedah
yang saya gunakan dengan berusaha mendapatkan salinan geran tanah dari
pemilik tanah yang hendak menjual tanahnya.
"Kegiatan itu saya fokuskan di kawasan Kuala Lumpur sahaja. Tanah
pertama yang mendatangkan wang kepada saya terletak di Kawasan Gombak.
Pemiliknya juga tinggal di Gombak. Maklumat mengenai hasrat tuan rumah
itu ingin menjual tanahnya saya perolehi menerusi iklan di dada akhbar.
"Setelah membaca iklan itu, saya terus datang menemui pemilik tanah itu
dengan berpura-pura hendak membeli tanahnya. Tanah itu seluas satu ekar.
Harga yang ditawarkan hanya RM80,000.00. Untuk itu, selaku pembeli,
saya jelaskan kepadanya yang saya mahu melihat geran tanah itu terlebih
dahulu sebelum membuat keputusan untuk membelinya atau tidak.
"Setelah geran tanah itu dapat saya lihat, saya berusaha mendapatkan
salinannya dari pemilik tanah itu sendiri. Saya tidak berhajat untuk
mendapatkan geran asal tanah itu sebab risikonya terlalu tinggi keatas
saya. Jika saya memegang geran asal orang itu saya pasti dicap sebagai
penjenayah dan saya pasti akan di tangkap polis. Jadi memadailah bagi
saya dengan mendapatkan salinan geran tanah itu sahaja.
"Untuk itu, saya meminta kerjasama daripada pemilik tanah itu sendiri
supaya membuat salinan (fotostat) ke atas geran tersebut untuk diberikan
kepada saya. Dengan cara itu, kononnya mudahlah saya untuk membuat
penelitian dan pertimbangan terhadap urusan pembelian ke atas tanah itu.
Bagi tujuan itu, saya berjanji kepadanya untuk datang semula keesokan
harinya untuk mengambil salinan geran berkenaan.
"Keesokan harinya setelah saya berjaya mendapatkan salinan geran itu,
mulalah saya mencari mangsa saya. Saya berusaha mencari orang yang
hendak membeli tanah dan yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur dengan
berlagak sebagai 'broker'. Dari seorang kepada belasan orang saya temui.
Akhirnya setelah 25 orang yang saya temui, bertemulah saya dengan orang
yang boleh 'dimakan'.
Orang yang saya maksudkan itu tinggal di kawasan Kuala Lumpur juga. Dia
memang orang berada dan bekerja sebagai peniaga. Diperingkat permulaan,
saya berusaha mempengaruhinya dengan menceritakan tentang keistimewaan
tanah itu serta harga tawarannya yang murah. Kepada orang itu, saya
nyatakan harga tawaran sebenar tanah itu RM100,000.00. Padahal harga
sebenar seperti yang dinyatakan oleh tuan tanah hanya RM80,000.00
sahaja.
"Untuk lebih meyakini orang itu, saya turut membawa beliau melawat
lokasi tanah berkenaan untuk dilihatnya sendiri dengan lebih jelas.
Setelah dia bersetuju untuk membeli tanah itu, saya berjanji kepadanya
untuk membawa beliau bertemu dengan tuan tanah. Dalam masa yang sama,
saya turut meminta wang pendahuluan daripadanya sebanyak RM20,000.00.
"Separuh dari wang itu kononnya akan saya berikan kepada tuan tanah
sebagai bayaran pendahuluan, manakala selebihnya untuk urusan pertukaran
nama di pejabat tanah dan bayaran perkhidmatan saya. Setelah mangsa
menyerahkan wang RM20,000.00 kepada saya dan masing-masing pulang
kerumah, saya terus melupakan urusan selanjutnya dengan beliau kerana
hajat saya telah kesampaian.
"Penipuan besar kali pertama itu saya lakukan ketika saya berumur 30
tahun, iaitu pada tahun 1973 lalu. Ketika itu, saya telah tiga tahun
berkahwin dan mempunyai seorang anak. Saya ketika itu bekerja sebagai
kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Kegiatan penipuan itu
saya lakukan secara sambilan sahaja dan tidak diketahui oleh isteri saya
sendiri. Kalau isteri saya tahu tentu kecoh jadinya.
"Setelah berjaya dengan penipuan besar buat kali pertama, saya berusaha
pula melakukan penipuan kali kedua, ketiga hingga kali ke-13. Cara yang
saya lakukan sama sahaja. Sehingga kali ke-13, simpanan saya di bank
sudah ada RM200,000.00. Tetapi masuk kali keenam, isteri saya mula
curiga dengan saya. Ekoran wang yang banyak, isteri saya mengesyaki saya
terlibat dengan kerja-kerja haram.
"Saya tidak mengalami banyak masalah untuk meyakini isteri yang wang itu
kononnya wang halal. Dengan penuh kelicikan, saya berjaya mempengaruhi
isteri kononnya saya adalah broker tanah. Dengan bukti-bukti yang
meyakinkan, akhirnya isteri saya sendiri turut percaya dengan saya.
"Untuk mengelakkan diri dari dikesan oleh orang yang saya tipu pula,
berbagai-bagai strategi saya lakukan. Antaranya termasuklah penipuan
terhadap 'bisness kad', menggunakan nombor plat kereta palsu, nama
samaran dan sebagainya.
"Selain itu, saya juga turut mengambil tindakan berpindah rumah sewa.
Untuk tidak menimbulkan syak wasangka di hati isteri, saya sengaja
menyewa rumah yang lebih baik daripada rumah yang kami duduki ketika itu
setiap kali kami mahu berpindah rumah. Dengan alasan wang yang kami
miliki banyak dan kita tidak sepatutnya kedekut bagi mengecapi hidup
mewah, segala halangan dan bangkangan daripada isteri dapat saya
patahkan.
"Setiap kali berjaya dalam penipuan besar itu, saya mendapat tahu,
orang-orang yang saya tipu itu sememangnya tidak duduk diam. Mereka
berusaha mencari saya dengan seberapa daya untuk mendapatkan semula
wangnya daripada saya. Setelah gagal mengesani saya, saya juga tahu yang
mereka turut melakukan sembahyang hajat memohon kepada Allah supaya
saya akan pulangkan kembali wang mereka.
"Kadangkala memang saya ada tergerak di hati untuk memulangkan wang itu.
Selain itu, kadang-kadang tangan saya juga terasa amat panas setiap
kali memegang wang mereka itu. Namun saya hanya 'buat bodoh' sahaja.
Setelah saya berjaya mendapatkan wang mereka, takkan saya akan
menyerahkan semula wang itu kepada mereka. Itu tindakan bodoh. Lebih
jauh dari itu, setelah saya menipu mereka, takkan saya hendak berjumpa
dengan mereka pula. Nahaslah saya dikerjakan oleh mereka jika saya pergi
menyerah diri kepada mereka.
"Namun sehebat dan 'sekeras' manapun saya, setelah saya berjaya menipu
mangsa yang ke-13, saya tiba-tiba diserang penyakit lumpuh. Kejadian itu
berlaku 15 tahun lalu, pada tahun 1988, ketika saya sedang tidur.
Ketika itu saya berusia 45 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Anak sulung
saya ketika itu telah berumur 15 tahun.
"Sejak hari itu, saya merasakan yang saya sudah tidak berguna hidup
lagi. Saya tak ubah seperti 'bangkai bernyawa' yang hanya menyusahkan
anak-anak isteri sahaja. Sehingga kini sudah lima tahun saya mengalami
penyakit lumpuh seluruh badan. Sudah berbagai-bagai ikhtiar saya lakukan
sehingga menyebabkan wang simpanan saya kini sudah licin, namun saya
tidak juga sembuh.
"Saya kini hanya bergantung hidup kepada isteri yang bekerja sebagai
pegawai di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Apalah erti hidup
jika bergantung kepada isteri. Saya benar-benar kesal dan malu dengan
keadaan saya sekarang ini. Namun saya sedar, itu semua balasan dari
Allah diatas kejahatan saya. Saya sekarang benar-benar insaf dan tak
mahu mengulangi lagi segala kesilapan lalu. Kepada semua, saya harap
jadikanlah kisah hidup saya ini sebagai iktibar. Berbuat baiklah semasa
kita masih hidup. Jangan jadi seperti saya!"
Sumber : Majalah Cermin
Post a Comment