Header Ads

Benarkah Toyol Jenis Ini Paling Ganas?

Toyol mata satu lebih ganas

APABILA bercakap mengenai toyol, ramai yang akan mengatakan mereka pernah mendengarnya, malah ada yang mengalaminya sendiri. Tidak kurang juga yang mengatakan ianya hanyalah satu cerita karut atau tahyul.

  Biasanya toyol akan dikaitkan dengan kecurian duit. Jarang sekali atau tidak pernah langsung mengenai toyol yang membuat jenayah lain. Contohnya merogol atau lebih-lebih lagi membunuh.

 




 Kalau adapun kes yang terdengar hanyalah toyol mencederakan orang. Itupun bukan orang lain, tuan punya toyol itu sendiri.Maklumlah, toyol yang 'dibela' akan menghisap darah dari tuannya atau isteri tuannya. Ada yang mengatakan ini adalah sebagai makanannya dan ada yang mengatakan ia adalah sebahagian dari syarat perjanjian jika mahu 'membelanya'.

  Biasanya toyol akan menghisap darah dari ibu jari kaki tuannya (atau iterinya). Ia dilakukan sebulan sekali atau yang jenis bekerja kuat akan melakukannya seminggu sekali. Ada juga orang mengatakan bahawa sesetengah toyol akan menghisap tetek atau menetek dari isteri tuannya.

  Apabila mencuri pula, toyol selalunya hanya akan mencuri sebahagian dari duit orang tersebut.Ia tidak akan mencuri semuanya. Kalau diikutkan, toyol lebih berhati perut dari manusia, tidak seperti perompak yang biasanya akan 'sapu bersih' semuanya.

  Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa toyol juga ada banyak jenis atau golongan. Ada jenis yang biasa, hasil kerjanya amat sedikit, ada jenis yang standart, hasil curiannya memang besar. Ini bergantung kepada perjanjian asal semasa hendak 'mendapatkannya'.

  Seorang pengamal perubatan tradisional pernah mengatakan bahawa toyol akan mencuri mengikut pendapatan tuannya pada hari tersebut. Kalau tuannya bekerja dan mendapat RM50.00 sehari, maka toyol juga akan mencuri sebanyak itu.Kalau tuannya berniaga dan pendapatan (jualan) pada hari itu adalah RM2,000.00, maka toyol itu pun akan mencuri sebanyak itu.

Sebab itu jika ada di kalangan peniaga pasar malam yang membawa toyolnya sekali, alamat akan kerugianlah peniaga-peniaga lain. Kecuali orang yang tahu untuk mengelakkan gangguan toyol ini.

Kata orang, cara yang paling mudah ialah dengan meletakkann tulan khinzir (dibungkus) di dalam tempat menyimpan wang. Walaupun mereka tahu bahawa cara ini adalah salah di dalam syariat.Tetapi telah banyak terbukti bahawa cara ini adalah berkesan.

Di kalangan toyol juga, ada yang jahat. Mereka dari golongan yang agak pemalas tetapi pintar. Toyol ini adalah toyol bermata satu.Ia dikatakan sebagai 'gangster' di kalanga toyol. Cara kerjanya juga agak berbeza dari toyol-toyol yang biasa.

Toyol bermata satu jarang mencuri dari manusia. Dia lebih suka menyamun dari toyol yang lain, yang sedang dalam perjalanan pulang dari mencuri. Oleh kerana ia tahu laluan dan masa toyol-toyol biasa ini balik, senanglah ia menungggunya. Biasanya toyol-toyol lain tidak dapat melarikan diri darinya.

Perkara ini menyusahkan toyol-toyol biasa. Ini adalah kerana apabila duit yang dicuri tadi disamun oleh toyol mata satu,mereka terpaksa pergi mencuti lagi. Kalau tidak, mereka akan tentu 'dimarahi' oleh tuan mereka jika hasil tidak mencukupi. Dan yang paling ditakuti, tidak dapat menghisap darah.

Toyol mata satu ini memang ganas. Matanya yang hanya ditengah dahi di atas hidung, cepat berwarna merah. Toyol biasa amat takut kepadanya.

Toyol mata satu juga amat susah untuk dihapuskan. Kalau toyol biasa, ia mudah diperdaya dengan kacang hijau, ketam hidup dan lain-lain. Apabila toyol-toyol ini sedang leka, senanglah untuk ditangkap (oleh orang yang mempunyai ilmu tersebut).

Menurut Pak Ariffin, seorang pengamal perubatan tradisional, hanya orang yang alim sahaja yang mampu untuk menghapuskan toyol mana satu. Kerana ia agak cerdik dari toyol biasa. Ia tidak mudah tertipu dengan teknik yang biasa digunakan untuk menangkap toyol.

Oleh itu, untuk menyelamatkan diri dan orang ramai dari diganggu oleh toyol jenis ini, cara yang paling mudah ialah memagar kawasan satu kampung berkenaan. Tetapi yang agak tidak seronok ialah orang di tempat lain pula akan menjadi mangsa.

Pak Ariffin sendiri pernah bersemuka dengan toyol mata satu ini. Waktu itu dia hendak menemui seorang rakannya yang mengadu duit simpanan dari perniagaannya selalu hilang. Kalau sekali atau dua kali mungkin perbuatan manusia, tetapi ini sudah berpuluh kali.

Kadang-kadang dalam satu hari dia kehilangan duit sehingga lima enam kali. Pernah satu hari, selepas habis berniaga dia mengira duitnya, ada sebanyak RM2,500.00. Apabila dia mengira sekali lagi, sudah tinggal RM2,000.000, sedangkan baru beberapa minit berlalu. Pening juga dia memikirkannya kerana waktu itu dia sedang bersendirian, tidak ada orang lain.

Akhirnya dia terus bergegas ke bank untuk menyimpan duitnya. Sampai di luar bank dia mengira semula duitnya, hanya tinggal RM1,000.00. Dia pun segera masuk ke dalam bank, fikirannya semakin bingung. Semasa menulis borang simpanan masuk duit, dia pun mengira semula untuk memastikan memastikan jumlah yang tepat. Dia semakin tidak faham kerana duit yang ada di dalam tangannya itu tinggal tinggal RM1,000.00.

Peristiwa itu berlaku sekitar jam 9.00 malam, selepas sembahyang isyak. Seperti biasa Pak Ariffin menunggang motosikal buruknya menuju ke rumah rakannya itu. Dalam perjalanan kira-kira seratus meter dari rumah rakannya, lampu motosikalnya menyuluh sesuatu yang agak ganjil.

Pada sangkaan Pak Ariffin, dia tersuluh 'budak' yang sedang berjalan kaki. Tetapi yang menghairankan, mengapa ' budak' itu berani berjalan seorang diri dalam kawasan gelap. Kerana sudah terasa ada sesuatu yang tidak kena, dia pun bersedia.

Apabila sudah semakin hampir, 'budak' itu menoleh ke arah Pak Ariffin. Walaupun terkejut, Pak Ariffin terpaksa mengawal dirinya. Kerana kalau tersilap langkah dia sendiri akan binasa. 'Budak' yang bertelanjang bulat itu sebenarnya toyol. Dan yang lebih menghairankan, toyol itu bermata satu.

Peringkat awalnya toyol itu cuba untuk membuat sesuatu kepada Pak Ariffin. Wajahnya yang bengis, merenung tajam ke arah Pak Ariffin. Pak Ariffin pun terus tenang dan mula membaca beberapa ayat al-Quran. Lama-kelamaan toyol itu 'tidak tahan' dan terus melarikan diri. Toyol itu berpaling dan menyeberangi parit dengan berlari di atas air.

Pak Ariffin bersyukur kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang berlaku. Dia juga agak terkilan kerana tidak sempat untuk 'menangkap' toyol itu.

Sampai di rumah rakannya itu, dia terus melakukan tugasnya. Rumah rakannya 'dipagar', beberapa potong ayat al-Quran diberikan untuk diamalkan.

Semenjak itu tidak ada lagi berita tentang kehilangan duit. Rakannya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.

Pak Ariffin menerangkan ada sedikit kekeliruan tentang cerita orang yang 'mengambil' toyol di Mekah semasa menunaikan haj. Ada yang mengatakan mereka mengambilnya dari satu tempat di sekitar Masjidil Haram. Ada yang mengatakan mereka membelinya dari seseorang dengan harga tertentu dan sebagainya.

Cerita yang sebenarnya adalah berbeza sama sekali.
Orang yang berhajat sebenarnya perlu membuat amalan tertentu. Biasanya membaca ayat-ayat al-Quran yang telah ditetapkan. Ada cara dan tempat yang telah ditentukan. Selepas membuat segala amalan, ia akan didatang oleh jin perempuan.

Denagan jin perempuan inilah dia akan membuat perjanjian, mereka akan berkahwin. Perkahwinan adalah mengikut cara yang telah ditetapkan oleh golongan jin. Bagaimana cara dan keadaan perkahwinan itu tidak dapat diceritakan di sini.

Pada zahirnya, orang yang berhajat itu akan berkeadaan seperti biasa. Menunaikan segala rukun-rukun dan kewajipan haji bersama-sama dengan rakannya yang lain.

Dia juga akan balik bersama dengan rombongan haji seperti biasa. Malah, dia mungkin lebih baik dan nampak lebih bersungguh-sungguh dari jemaah haji yang lain.

Dalam perkahwinan itu, jin perempuan akan mengandung. Benih dari manusia tadi akan dikandungkan mengikut tempoh yang tertentu.Ada yang mengatakan selama 70 hari, ada selama 70 minggu, ada yang mengatakan 17 bulan dan sebagainya. Masa juga dikira dalam alam jin, bukan dalam alam manusia.

Apabila cukup masa mengandung, 'anak' tadi dilahirkan. Sesudah itu, jin perempuan akan 'menghantar' anak tersebut kepada 'suaminya', lelaki yang berhajat tadi. Maka tinggallah 'anak' hasil perkahwinan antara jin dan manusia ini bersama 'bapanya'. Perkara ini hanya diketahui oleh orang yang berhajat sahaja. Tetapi jika ia perlu kepada 'penyusuan' (pada hakikatnya ia tidak menghisap susu dari badan manusia, hanya sekadar simbolik atau syarat sahaja), barulah isteri orang yang berhajat itu akan diberitahu. Biasanya mereka akan takut dan keliru, tetapi setelah diceritakan kedudukan yang sebenar, barulah mereka faham dan sanggup bekerjasama demi mengejar 'kekayaan'!

'Membelanya' tidaklah susah. Tempat tinggalnya mudah, hanya perlu membuatkan sebuah lubang dalam tanah di bawah rumah. Siang ia akan tidur, malam ia akan keluar 'bekerja.'

Toyol jenis ini boleh membuat plbagai kerja, mengikut kehendak tuannya. Selain dari mencuri duit, ia juga boleh melakukan keganasan. Tetapi oleh kerana tidak mahu menanggung sebarang risiko, mereka lebih suka melakukan perkara yang mudah, mencuri sahaja.

Peringkat awal, toyol ini hanya menghisap darah dari tuannya sahaja.
Tetapi setelah beberapa tahun dibela, toyol ini mahu sesuatu yang agak berbeza. Ia mahu menghisap darah dari orang yang 'ditunjuk' oleh tuannya.

Perkara seperti ini pernah terjadi beberapa tahun yang lalu, ketika Pak Ariffin merantau di Negeri Johor. Ada seorang budak yang suka datang ke rumah orang yang membela toyol ini. Kebetulan anaknya sebaya, jadi dia selalu datang untuk bermain bersama-sama dengannya.

Suatu hari, sedang dia bermain, bola yang ditendag telah meleret masuk ke bawah rumah. Budak ini terus menyusup ke bawah rumah untuk mengambil bola tersebut. Semasa merangkak (kolong rumah itu rendah, sekitar tiga kaki), dia terlihat sebuah lubang yang agak besar. Sangkanya bola itu tentu telah termasuk ke dalam lubang tersebut.

Dia menghampiri lubang tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat sepasang mata yang merah merenung ke arahnya. Dia pun segera keluar dari bawah rumah. Tanpa bercerita apa-apa, dia terus balik ke rumahnya. Dia tidak menceritakan hal ini kepada sesiapa kerana takut sesuatu yang buruk akan menimpanya.

Setelah ketakutannya reda, dengan pujukan dari anak toyol tadi, budak ini datang semula ke rumah tersebut untuk bermain. Kali ini tidak ada perkara ganjil yang berlaku.

Petang itu semasa budak ini hendak mandi, keluarganya menjadi gempar keran terlihat beberapa kesan lebam di tubuhnya. Kesan itu seolah-olah seperti gigitan dari budak kecil. Dirasakan tidak ada apa yang merbahaya, mereka mendiamkan sahaja perkara tersebut. Mereka hanya menyapukan ubat sahaja pada bekas gigtan itu.

Tetapi, dari sehari ke sehari, budak ini semain kurus. Selera makan kuat, tetapi badan semakin susut. Akhirnya mereka menemui Pak Ariffin untuk meminta bantuan darinya.

Menurut Pak Ariffin, kesan lebam itu memang gigitan dari budak iaitu toyol. Dia boleh merawat budak itu dan seterusnya 'memagarnya' agar tidak diganggu lagi. Tetapi ada beberapa syarat dan pantang yang perlu dipatuhi. Jika tidak, 'pagar' akan musnah dan budak itu akan diganggu lagi.

Selepas tiga tahun, Pak Ariffin mendengar berita bahawa budak itu masih pergi ke tempat yang dilarang, melanggar syarat yang utama!

Membela toyol merupakan perkara yang amat bertentangan sekali dengan ajaran Islam. Ia juga boleh merosakkan akidah tanpa disedari. Pada zahirnya mereka mungkin nampak kaya tetapi sebenarnya batin mereka menderita. Hati mereka tidak aman kerana tahu mereka melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah swt.

Biasanya orang lain dapat melihat dengan jelas keadaan kehidupannya yang agak kelam kabut. Orang lain tidak akan menghormati dan memandang rendah kepadanya.

Dan yang paling ditakuti adalah semasa kematiannya nanti. Dapatkah dia meminta maaf dari orang yang pernah dianiaya dan memulangkan semula hak mereka?

Jadi,pada hakikatnya,membela toyol memang akan menyusahkan diri di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Sanggupkah kita mendapat sedikit kemewahan dunia sedangkan di akhirat nanti akan terus disiksa selama-lamanya?

Tetapi syaitan amat pandai memberi jawapan, dah tua nanti buanglah 'benda' ini dan bertaubat!

Macamlah semua orang tahu bila masa ia akan mati!!!
Sumber: majalah Alim

No comments

Powered by Blogger.