Kisah Tauladan Azab Si Tukang Sihir
Suatu
petang, saya melawat seorang tua di kampung kami bernama Pak Mat yang
sedang nazak di rumahnya. Badan orang tua itu tidak ubah seperti mayat
hidup. Tubuhnya sangat kurus macam papan sekeping.
Sekadar Foto Hiasan |
Menurut
anaknya, ayahnya sudah beberapa bulan terlantar di rumah. Sudah
beberapa kali ayahnya seakan-akan hendak meninggal dunia tetapi masih
bernyawa.
Pada
hari pertama ayahnya sakit, keluarganya menyangka ayahnya hampir saat
hendak meninggal. Jiran-jiran membacakan surah Yasin di rumah. Tetapi
keadaannya tetap begitu sehingga berbulan-bulan.
Masa
mula-mula sakit dulu orang ramai berkunjung melawat Pak Mat. Tapi
sekarang tiada lagi sesiapa melawat sebab orang kampung menganggap Pak
Mat sakit tua.
Balik
dari melawat Pak Mat saya ceritakan keadaan itu kepada mak. Mak
terkejut mendengar berita Pak Mat sedang sakit tenat tetapi masih
bernyawa.
“Huh! Padan muka dia. Dulu jahat sangat. Sekarang rasakanlah!” balas mak.
Saya
terkejut mendengar kata-kata mak. Kenapa pula mak marah-marah kepada
Pak Mat sedangkan orang tua itu sedang bertarung nyawa. Tak patut mak
cakap begitu!
“Kenapa pula mak cakap macam tu? Kan orang tua tu tengah nazak, nak meninggal!” kata saya.
Saya
mengagak tentu ada sesuatu peristiwa pernah terjadi pada mak. Mungkin
Pak Mat pernah lakukan perbuatan yang dibenci mak. Kalau tidak,
takkanlah mak boleh keluarkan kata-kata kesat seperti itu.
“Dia buat apa dulu mak?” soal saya.
“Kau
tengok bapak kau tu. Kau ingat dia tergaru-garu tu sebab penyakit kulit
biasa ke? Kalau kau nak tau, orang itulah yang buat bapak kau jadi
macam ni!” balas mak.
Saya
jadi pelik memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Bapa saya dari dulu
memang mempunyai penyakit kulit yang tidak pernah sembuh. Puas berubat.
Jumpa berpuluh bomoh pun tak dapat menyembuhkannya. Habis ubat hospital
dicuba tetapi masih tidak berkesan.
Saya Tanya mak lagi, apa Pak Mat buat pada ayah dulu?
“Panjang ceritanya… kisah ni masa mak muda-muda dulu!” beritahu mak.
Mengikut
cerita mak, semasa zaman muda dulu, isteri Pak Mat pernah
tergila-gilakan ayah. Tetapi ayah tidak berminat dengan cinta isteri Pak
Mat. Cinta isteri Pak Mat ditolak oleh ayah. Tapi isteri Pak Mat tetap
gila bayang. Mak bercerita isteri Pak Mat pernah membayangkan sedang
berasmara dengan ayah ketika bersama suaminya.
Sewaktu
mula terkena santau, mak memberitahu ayah terlangkah sesuatu yang pelik
di luar rumah. Rupa benda yang dilangkah ayah seperti paku, miang
buluh, kaca dan beberapa lagi peralatan bomoh.
Pada
sebelah malamnya sesuatu yang pelik berlaku pada ayah. Seluruh tubuh
ayah terasa gatal. Ayah menggaru-garu sampai ke siang. Sepanjang malam
ayah tak boleh tidur.
Esoknya,
mak memberitahu badan ayah dipenuhi luka dan darah akibat digaru.
Serata badan habis dipenuhi bintik-bintik gatal. Badan ayah terasa bisa
seperti dilumur dengan miang buluh.
Mak
bercerita, ayah melarang abang supaya jangan melangkah benda yang
dilangkahi ayah semalam yang masih terdapat di luar rumah kami. Tetapi
abang berdegil dan tidak mengendahkan larangan ayah.
Kata
mak, abang tidak percaya dan menganggap semua itu karut dan dongeng
belaka. Tapi, sebaik abang melangkah, berlaku pula satu kejadian pelik.
Mak memberitahu, abang pula mengadu sakit ari-ari dan tidak boleh
kencing.
Pelik!
Puas abang meneran tidak juga kencing sepanjang hari. Esoknya sama.
Hampir seminggu abang tidak kencing. Akhirnya kata mak selepas berubat
dengan seorang ustaz, abang boleh kencing semula.
Tapi
penyakit ayah terasa bisa dan miang seluruh badan tetap tidak juga
sembuh. Kata mak, sudah berpuluh orang bomoh dicuba untuk berubat tetapi
tiada yang berjaya. Ayah pernah pergi sampai ke Terengganu untuk
berubat.
Di
sana kata mak, ayah berubat dengan seorang bomoh. Melalui bomoh itulah
ayah diberitahu terkena santau perbuatan orang yang dengki hendak
menghancurkan keluarga kami.
Walaupun
mak tahu siapa orang yang menyantau ayah tapi perkara itu sengaja
didiamkan. Mak tidak mahu kecoh. Mak tidak mahu bergaduh dan mengeruhkan
keadaan. Bagi ayah biarlah Allah saja yang membalas perbuatan orang
yang menyantaunya.
Begitulah
kisah yang diceritakan mak. Saya termenung mendengarnya. Paling
mengejutkan kejadian santau ini berlaku kepada ayah saya sendiri.
Bayangkanlah
sampai hari ini ayah masih menderita akibat disantau 18 tahun lalu.
Rupa-rupanya kisah santau ini benar-benar wujud. Selama ini saya sendiri
tidak percaya. Malah saya percaya ramai lagi orang tidak percaya
apabila diberitahu ada yang terkena santau.
Malah ada orang tidak percaya apabila diberitahu azab santau begitu dahsyat sekali.
Tapi
yang paling mengejutkan saya, orang yang terlibat membuat kerja santau
kepada ayah ialah lelaki tua yang pernah saya melawatnya. Saya mula
terasa marah. Mengapa orang tua itu sanggup membuat kerja yang dilaknat
lagi dikutuk Allah itu? Tidak terfikirkah orang tua itu akibat buruk
yang akan menimpanya kelak, menerima balasan Allah?
Tanpa
diduga beberapa hari selepas saya melawat, anak-anak Pak Mat datang
beramai-ramai ke rumah kami. Anak-anaknya dengan rendah hati menjemput
kami sekeluarga ke rumah mereka.
Menurut
anak-anak Pak Mat ada perkara penting yang hendak dibincangkan mengenai
orang tua mereka yang sedang azab. Kami sekeluarga bersetuju untuk
datang.
Sampai
di rumah Pak Mat, kedua-dua orang tua saya terkejut melihat keadaannya.
Tulang rusuk Pak Mat boleh dibilang dengan jari. Pipinya cengkung dan
bunyi dengkuran nafasnya begitu kuat.
Mak
lalu bertanya mengapa keluarga Pak Mat menjemput kami. Anak-anak Pak
Mat memberitahu ayah mereka ingin meminta maaf kepada keluarga kami di
atas perbuatan lampaunya.
Isteri
dan anak-anak Pak Mat menangis teresak-esak memujuk kami supaya
memaafkan saja perbuatan tersebut. Anak-anaknya menyatakan mungkin ayah
mereka susah hendak meninggal selagi kesalahannya tidak dimaafkan oleh
ibu dan ayah saya.
Mak
pada mulanya agak dingin,Mak tidak mahu memaafkan Pak Mat apabila
mengenangkan perbuatannya menyeksa ayah melaui santau. Tapi mak kalah
dengan pujukan ayah.
Kata
ayah tidak ada gunanya berdendam dengan orang yang tidak boleh berbuat
apa-apa lagi. Biarkanlah rohnya pergi dengan aman dan tenang. Selagi mak
dan ayah tidak memaafkan Pak Mat selagi itulah orang tua itu hidup
seperti mayat bernyawa.
Lagipun
kata ayah perbuatan yang dilakukan Pak Mat sudah berbelas tahun
berlalu. Tiada guna dendam mendendam. Akhirnya mak dan ayah bersetuju
memaafkan perbuatan Pak Mat.
Bagi
mak biarlah kisah ini menjadi pengajaran dan teladan bagi anak-anaknya
yang masih hidup. Mak mengingatkan biar betapa kuat seseorang setiap
yang hidup pasti akan mati.
Dua
minggu selepas mak dan ayah memaafkan perbuatan Pak Mat, orang tua itu
meninggal dunia. Biarpun orang tua itu sudah dimaafkan dan meninggal
tetapi ayah saya masih lagi menderita akibat perbuatannya.
Walaupun
kisah ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi elok saya ceritakan
untuk kita bersama-sama mendapat iktibar dan tidak melakukan kerja-kerja
syaitan.
Bukankah Allah telah berfirman, sihir itu adalah perbuatan keji dan mengikut jejak langkah syaitan?
Sumber : OhPilihanku
Post a Comment