Header Ads

Kisah Pengalaman Seram Melihat Lelaki Berjubah

BERTUGAS sebagai pengawal keselamatan memangnya mempunyai banyak risiko. Mereka bukan sahaja bertanggung-jawab terhadap keselamatan kawasan bahkan juga berhadapan dengan situasi setempat yang kadangkala berlaku sesuatu di luar jangkaan, lebih-lebih lagi jika tempat tersebut dikatakan berpuaka.






Bagi mereka yang belum pernah mengalami dan merasai sendiri kejadian paranormal ini memangnya sukar untuk percaya, bagaimanapun adalah satu realiti kehidupan yang harus dilalui,"Bagaimanapun ia terserah pada kita untuk menanganinya secara waras, kalau kita lemah semangat, buruklah akibatnya," ujar Haji Abu Bakar Muid,63, ketika menceritakan pengalamannya berdepan dengan kejadian paranormal yang dialaminya sendiri beberapa tahun lalu.

Bekas jurugambar di sebuah syarikat akhbar ini memberitahu, pada mulanya dia seperti orang lain juga tidak pernah mahu mempercayai kewujudan makhluk lain yang tidak ternampak pada pandangan mata.

"Apa lagi bila orang kata pernah jumpa bunianlah, hantulah, bagi saya semua tu mengarut, tak logik!" jelas Haji Abu Bakar yang sehingga kini masih lagi berkhidmat dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Mengimbas semula kejadian yang dilaminya, menurut Haji Bakar ketika itu dia bertugas di sebuah sekolah agama di Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Malam itu bulan mengambang penuh, cahayanya melimpah ke segenap penjuru alam menyebabkan pungguk keriangan bernyanyi di ranting pokok ara, tidak berapa jauh di bahagian belakang pos pengawal, suaranya riuh mendayu melaungkan kerinduannya pada sang bulan. Haji Bakar keluar dari dalam pos. Mengambil sebuah kerusi dan membawanya ke hadapan pos. Dia juga ingin menikmati keindahan malam bulan purnama, berkongsi keriangan dengan pungguk.

Selepas duduk di kerusi, Haji Bakar mula menikmati sedutan paip sambil fikirannya melayang jauh mengenangkan isteri yang ditinggalkan sendirian di rumah. Mungkin waktu ini, pukul 2.00 pagi, isterinya sedang lena diulit mimpi dan terlepas dari menikmati pemandangan alam yang sungguh cantik dan damai sekali.

Tiba-tiba Haji Bakar terasa ada sesuatu. Cepat-cepat dia menoleh ke sebelah kiri, ke kawasan sekolah. Dia merasa ada sesuatu yang melintas menuju ke bawah pokok kayu ara tempat sang pungguk bernyanyi.

Haji Bakar mencapai lampu suluh. Bangun dan kemudiannya berjalan menuju ke kawasan tersebut, namun malam itu tidak seperti malam-malam sebelumnya, hatinya berdebar kencang dan bulu romanya terasa menegak.

Langkahnya teragak-agak. Sudah lima bulan dia bekerja di situ, tidak pernah dia merasai keadaan seperti itu, tapi dia percaya ada orang menceroboh kawasan sekolah ketika itu, mungkin budak-budak kaki ganja menceroboh masuk untuk mencari duit saku, getus hatinya.

Sebaik sahaja Haji Bakar melintasi pokok ara, dia merasa ada seseorang di belakangnya, sepantas kilat dia menoleh, tiada apa-apa. Yang ada hanyalah batang pokok kayu ara.

Suara pungguk juga tiba-tiba terhenti dan kedengaran burung hodoh itu terbang ke tempat lain, kemudiannya berbunyi jauh, sayup-sayup kedengaran menyebabkan   suasana menjadi sayu.

Haji Bakar meneruskan perjalanannya membuat rondaan sekeliling kawasan sekolah. Sesekali hatinya merungut, orang-orang pencen sepertinya patut duduk sahaja di rumah menghabiskan usia tua, namun perut perlu juga di isi sedangkan anak-anak mempunyai tanggungan mereka sendiri, dia pasrah.

Setelah berpuas hati dengan keadaan sekeliling sekolah yang terkawal, Haji Bakar berpatah balik ke pondok pengawal namun langkahnya terhenti bila dia terpandangkan beberapa orang lelaki berjubah dan berserban hijau duduk di atas bangku di bawah pokok ara seakan-akan sedang bersembang.


Peluh dingin memercik membasahi dahi, bulu tengkuk juga di rasakan meremang dan kakinya seperti digayuti besi berat yang menghalang dari meneruskan langkah.

Mulut Haji Bakar mula kumat-kamit membaca ayat Kursi, Selawat serta apa sahaja ayat-ayat suci al-Quran yang ketika itu melintas di ingatannya sambil menanamkan tekad penguat semangat, 'ah! Aku tak kacau engkau, engkau jangan nak kacau aku'.

"Saya melaungkan kata-kata itu dengan kuat supaya makhluk halus tu dengar dan kemu-diannya saya terus berjalan menuju ke pondok pengawal semula," cerita Haji Bakar yang berasal dari Melaka.

Menurut Haji Bakar, perasaannya ketika itu memang benar-benar diselubungi rasa takut yang amat sangat kerana sewaktu melintasi kumpulan lelaki berbaju dan berserban hijau di bawah pokok ara itu, keempat-empat lelaki itu menumpukan pandangannya pada Haji Bakar.

"Walaupun wajah mereka tidak menakutkan, seperti orang biasa namun perasaan gerun terlalu menguasai diri saya ketika itu," ujar Haji Bakar lagi.

Sejak kejadian malam itu, beliau menemui beberapa lagi kejadian termasuklah mendengar suara orang sembahyang berjemaah di surau sekolah tersebut pada waktu Subuh sedangkan ketika itu belum lagi masuk waktu.

Haji Bakar juga mendakwa pernah mendengar suara kanak-kanak, perempuan dan nyanyian merdu tidak berapa jauh dari kawasan pokok ara yang dianggap sebagai satu penempatan keluarga Bunian.

Bagaimanapun Haji Bakar bersyukur kerana dia tidak pernah diganggu dengan perkara-perkara yang menakutkan hanya sekadar melihat imbasan mahupun mendengar suara yang dipercayai dari kalangan Bunian beragama Islam.

"Saya percaya ia sekadar untuk menguji kekuatan had dan keimanan saya, adakah saya ni lemah semangat atau pun tidak," kata Haji Bakar mengakhiri perbualan kami senja itu.®


Sumber : OhPilihanku

No comments

Powered by Blogger.