Header Ads

Misteri:Masuk taman bersama Puteri Bongsu



TAHU mengenai kisah Lubuk Puteri? Penghuni di situ gemar mengusik tetapi pada malam itu Pak Long sedikit pun tidak berasa takut. Dua tiga hari sebelum menjenguk lubuk itu, fikirannya berasa lapang dan pernah suatu malam dia bermimpi dengan seorang gadis cantik. Wajahnya sentiasa terbayang di fikirannya.

Dulu, lubuk di Sungai Muda dekat Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah itu menjadi tumpuan nelayan sungai menjala ikan dan memasang pukat pada musim kemarau. Kelah dan baung antara tangkapan yang diperoleh.

Malam itu selepas menunaikan solat Maghrib, Pak Long yang nama sebenarnya Mat Zain Ariffin ditemani seorang kawan, Shaid Mohamad, meninggalkan rumah menuju ke lokasi.

Setelah memastikan peralatan memancing cukup, mereka menapak dengan harapan membawa pulang tangkapan lumayan. Kira-kira 20 minit perjalanan melalui denai agak semak, dua sahabat itu sampai di tebing sungai.

Dengan menggunakan sampan kepunyaan penduduk yang diikat pada sebatang pokok, mereka berdayung menuju ke sebuah pulau kecil berhampiran lubuk berkenaan. Cuaca malam itu samar-samar disinari bulan separuh penuh.

“Sehingga sampai di pulau itu, Pak Long berasa biasa saja. Tidak terfikir pun apa-apa perkara karut-marut. Nak dikatakan berani sangat tu, tidaklah. Kita harus akur kewujudan makhluk halus yang menghuni di alam lain.

“Pak Long tahu, tempat itu agak istimewa. Sebab itu orang tak berani ke situ waktu malam. Buaya besar pun ada,” terasa seram apabila mendengar cerita Pak Long itu.

Pak Long ketika kejadian itu berusia 24 tahun berkata, kira-kira sejam memancing, ikan yang diperoleh sudah lebih daripada cukup untuk dimakan sekeluarga. Selain kelah dan tengas, lampam jawa, baung, haruan, sebarau dan udang galah memenuhi karung plastik.

Hasrat mereka meratah kelah dan baung, kesampaian. Terbayang di fikiran Pak Long betapa enaknya ikan itu dibakar dan dicicah air asam. Anaknya pula tentu memilih masakan udang galah, hidangan kegemaran mereka.

Ketika Pak Long dan Shaid asyik melayan ikan meragut umpan, dengan tidak semena-mena terasa hembusan angin seakan berligar sekitar pulau berbatu itu. Sentuhannya agak berlainan daripada angin biasa. Ia bagai memberi isyarat sesuatu.

Meskipun hatinya berbisik ada sesuatu tidak kena, Pak Long buat-buat tak tahu saja. Nak tunjukkan rasa takut, bimbang Shaid jadi gelabah. Shaid bukannya berani sangat. Pantang dengar cerita hantu, muka jadi pucat.

“Zain, aku rasa lain macamlah. Hang tak berasa apa-apa ka?,” Shaid dengan dialek pekat Kedah menghampiri Pak Long.

“His! Tadak apa-apalah. Biasalah...angin malam,” balas Pak Long.

Namun sejurus kemudian Pak Long ternampak air di permukaan lubuk beralun dan berputar. Serentak itu, kelihatan kabus menyelubungi kawasan berkenaan.

Diperhatikan apa yang berlaku. Tiga objek berwarna putih perlahan-lahan muncul dari permukaan air. Entah macam mana matanya berasa pedih. Sebaik dia mengusap mata, kabus dan lembaga itu hilang secara tiba-tiba!

Fikirannya mula bercelaru. Perasaan seram dan takut datang silih berganti. Ditakdirkan yang muncul itu langsuir, habislah mereka pada malam itu jadi mangsa makhluk penghisap darah.

Dalam saat menghadapi sebarang kemungkinan itu, Pak Long terdengar macam suara orang perempuan di hujung pulau. Ya-Allah!... tiga gadis berpakaian serba putih duduk sambil bermain air.

Seorang gadis yang paling cantik melambai tangan. Pak Long gugup. Secara tiba-tiba, penglihatannya berasa berpinar. Suasana persekitaran berubah. Terang gemerlapan seperti disinari cahaya lampu.

Pak Long melihat sesuatu yang ganjil. Dia bagaikan berada di kawasan taman dipenuhi pelbagai bunga yang berbau harum semerbak. Di hadapannya tercegat gadis yang melambai tangannya tadi.

Gadis itu menghampirinya lantas memegang tangan Pak Long. Pak Long tidak mampu berbuat apa-apa tapi terdengar bisikan gadis terbabit yang memperkenalkan dirinya Puteri Bongsu lubuk itu.

“Cantik dan manis sungguh puteri itu. Kecantikannya tiada tandingan dengan perempuan biasa. Saya tersedar daripada khayalan apabila Shaid menepuk kuat di bahu.

“Apabila tersedar, tiga gadis berkenaan yang tadinya duduk di hujung pulau ghaib entah ke mana,” cerita Pak Long.

Pak Long tidak memberitahu Shaid apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia mengarahkan rakannya itu mengemas peralatan untuk pulang. Seminggu selepas itu, barulah dia faham tafsiran mimpinya bertemu seorang gadis cantik.

“Kadang-kadang mimpi ni pun boleh dipercayai juga. Itu semua kerja Tuhan,” kata Pak Long.

Tiga puluh tahun peristiwa itu sudah berlalu, namun ia masih segar dalam ingatan Pak Long. Sepanjang hayatnya kini berusia 63 tahun, itulah pengalaman pertama kali bertemu penghuni Lubuk Puteri.

Beliau yang terkenal sebagai bomoh patah (mahir dalam rawatan patah dan terseliuh secara tradisional) serik untuk menjenguk lubuk terbabit. Dia menganggap peristiwa pernah ditempuhinya itu mungkin dugaan Allah terhadap hamba-Nya.

RENUNGAN

SESUNGGUHNYA Allah menjadikan siang dan malam itu ada hikmah dan rahsia tertentu. Berhati-hatilah kamu (manusia) apabila bergerak pada waktu malam. Malam itu adalah siang bagi iblis, jin dan syaitan dan siang itu bagi mereka adalah malam.

Tidak hairan mengapa perkara atau kejadian menyeramkan seperti jelmaan dan gangguan iblis sering berlaku waktu malam. Sama-samalah kita renungi dan jadikan iktibar.

 Oleh Sabaruddin Abd Ghani
Sumber : Bernama548

No comments

Powered by Blogger.