Header Ads

Benarkah Kancing emas penawar sumpahan?

Keturunan Pak Kaduk jika terkena air ikan tapah akan alami gatal-gatal, sakit kulit terbakar

SUMPAHAN ikan tapah sehingga kini terus menjadi misteri terutama membabitkan waris Pak Kaduk yang percaya keturunan lelaki itu tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkhianati secara sengaja atau tidak, ikan berkenaan.

Sekadar Foto Hiasan





Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan Pandak Logam Pandak Demat, seorang daripada keturunan Pak Kaduk yang terbabit sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang ikan tapah.

Pandak Logam dilahirkan pada 1873 dan meninggal dunia pada 1963 pada usia 90 tahun.

Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas yang ditemui dalam perut ikan tapah yang masih ada, ia berbentuk ‘empat segi iris wajik’ digunakan sebagai keronsang baju wanita.

Jumlah yang ada sekarang sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Pak Kaduk yang kebanyakannya tinggal di sekitar Sungai Perak, jika terkena sumpahan bisa ikan tapah.

Kini emas kerongsang ikan tapah itu dijaga oleh seorang keturunan Pak Kaduk yang kesembilan bernama Hasmah Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan.

Hasmah, 87, atau lebih dikenali sebagai opah, berkata kisah Pak Kaduk bermula ketika zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah.

Beliau berkata, pada zaman kesultanan itu permainan menyabung ayam amat disukai ramai, ia menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi, malah permainan itu membabitkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah sultan.

Hasmah berkata, Pak Kaduk adalah berasal daripada keturunan raja yang berasal dari Negeri Siak, Sumatera merantau ke Tanah Melayu.

Pak Kaduk memulakan pelayaran ke Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya sampai di tepi Sungai Perak bernama Lambor (menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri.

Pak Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis tempatan dan menetap beberapa lama di Kampung Pulau, Lambor Kiri.

Pak Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.

Hasmah berkata, pada suatu hari Pak Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular itu pun berundur dan menghilangkan diri. Pak Kaduk pun mengambil telur itu dan dieramkan oleh ayamnya.

Telur itu akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal, dinamakan Biring Si Kunani. Ayam sabungnya sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Pak Kaduk.

Pak Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Pak Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dapat menyabung ayam.

Berita kehebatan ayam sabungan Pak Kaduk turut mendapat perhatian sultan, lalu baginda mencabar Pak Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan.

Syaratnya - ayam Pak Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata. Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya dan syarat di pihak sultan pula, Pak Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam sultan kalah.

Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima syarat berkenaan kerana sudah lama tidak menyabung ayam.

Hasmah berkata, seperti yang dijangkakan ayam Pak Kaduk yang ditukarkan dengan sultan menang. Pak Kaduk bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu sudah menjadi milik sultan. Selepas pengumuman dibuat barulah Pak Kaduk sedar bahawa dia sudah dipermainkan sultan.

Dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Pak Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada sultan, hanya yang tinggal pada Pak Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa sultan mengambil pertaruhan kucing itu tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik sultan.

Pak Kaduk pun membawa diri ke sebuah pulau (satu tempat di tepi tebing Sungai Perak tempat orang menanam padi huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Pak Kaduk seakan ingin memberitahunya sesuatu. Puas juga beliau menghalau kucing itu tetapi tetap juga begitu.

Pak Kaduk pun mengikut kucing itu ke tepi tebing sungai. Apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah itu keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.

Maka Pak Kaduk pun menjahit perut ikan tapah itu dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Ketika inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi;

"Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piat-piut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan ikan tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya.”

Ikan tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah-olah mengucap selamat tinggal dan kemudian hilang.

Selepas itu, Pak Kaduk pun pergilah mengadap sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan sebahagian bakinya disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar, Sumatera untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana pada zaman itu tukang emas hanya berada di wilayah itu saja.

Kepada anak cucu Pak Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya jika terkena air dari ikan tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam kerongsang emas tapah sebagai penawar bisa sumpahan.

Difahamkan ada keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan tapah.

Selepas segalanya selesai Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Pak Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku beberapa perkara luar biasa.

Antaranya Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datuk Bendahara Garang mengenai selok-belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh seperti dalam kisah Megat Terawis.

Seorang daripada waris Pak Kaduk, Azizah Mat lodin, 67, berkata beliau yakin bahawa cerita lagenda Pak Kaduk adalah cerita benar kerana ada beberapa bukti kukuh yang diwarisi sehingga kini.

Beliau berkata, walaupun cerita Pak Kaduk ditokok tambah hingga menjadi cerita humour, namun bagi keturunannya mereka menyifatkan ia sebagai sumber sejarah yang perlu diperhalusi.

Katanya, pihak tertentu terutama pusat pengajian tinggi perlu melakukan kajian secara ilmiah berhubung kewujudan Pak Kaduk dan peranannya dalam institusi kerajaan Melayu Perak.

"Saya tidak pernah malu dengan cerita Pak Kaduk, malah berbangga bahawa Pak Kaduk pernah menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran negeri pada masa lalu.

"Saya yakin, cerita Pak Kaduk adalah cerita benar, kerana bukti yang wujud dan beberapa barangan kemas lain yang masih disimpan oleh generasi Pak Kaduk sehingga kini," katanya.

Seorang lagi keturunan Pak Kaduk, Maimunah Idrus, 58, berkata, beliau pernah mengalami sakit seperti kulit terbakar kerana tersentuh air ikan tapah kira-kira 30 tahun lalu.

Beliau berkata, ketika itu, dia sedang memilih ikan di Pasar Awam Pekan Sungai Galah, Changkat Tin dan tiba-tiba terasa tangannya seperti terbakar sebaik saja cuba mencuci tangan ketika memilih ikan di situ.

"Saya tidak kenal ikan tapah, tetapi dipercayai bekas air itu digunakan oleh pelanggan lain untuk membasuh tangan selepas membeli ikan tapah di pasar berkenaan.

"Saya menderita kesakitan selama lebih dua hari sebelum ayah membawa saya ke Teluk Sareh dan berjumpa Pandak Logam untuk mengubati tangan saya.

"Sungguh ajaib, sebaik saja air berkenaan yang direndam bersama kancing emas mengenai tangan saya, didapati tangan saya tidak lagi terasa panas," katanya.

Maimunah berkata, dia kini yakin bahawa apa yang dikatakan sumpah Pak Kaduk itu benar-benar berlaku dan sememangnya kancing emas itu adalah penawar kepada sumpahan keturunannya.


Sumber: Berita Minggu 11.2.2007
penulis :  Oleh Mohd Idris Sulaiman

No comments

Powered by Blogger.