Header Ads

Wanita Di Khianat Dengan Cara Sihir



MALAM semakin larut,Jarum jam di dinding sudah menunjukkan jam 3.00 pagi. Namun Mak Jah masih belum lelap-lelap lagi. Sudah satu jam dia berada di atas katil namun Mak Jah masih belum dapat tidur. Puas sudah dia beralih ke sana-sini namun tak berjaya. Matanya terkebil-kebil memandang ke arah syiling rumahnya. Dia pun hairan kerana keadaan seperti itu tidak pernah dialaminya sebelum ini. Sesekali dia dikejutkan dengan bunyi benda dicampakkan ke atas atap rumah. Bunyi di persekitaran rumahnya juga menyeramkan. Namun, Mak Jah kuatkan hati. Dia hairan siapa yang mengganggu pada malam-malam buta begitu.

Akhirnya, pada jam 5.00 pagi barulah Mak Jah terlena. Namun tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar bunyi azan dilaungkan. Dia cuba bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya tetapi tidak berjaya. Dia rasakan badannya sungguh sakit, berdenyut-denyut rasanya. Seperti dicucuk jarum. Keadaan ini tidak pernah dia rasai sebelum ini. Kakinya pula dirasakan begitu kebas. Dia ingin bersuara memanggil anak-anaknya tetapi tidak mampu. Suaranya tersekat-sekat. Nafasnya semput. Mak Lijah cuba mengesot-ngesot menuruni katil tempat tidurnya. Namun malangnya dia tergelincir. Lalu jatuh ke lantai yang dilapik permaidani nipis. Bedebub, bunyi Mak Jah terjatuh.

Kebetulan salah seorang anak perempuannya yang hairan kerana Mak Jah tidak keluar-keluar dari biliknya hendak memasuki bilik untuk mengejutkannya. Dia terperanjat apabila mendapati Mak Jah terduduk di atas lantai. "Mak!" jerit Sofea, anak perempuannya itu. Ibu yang lesu di lantai segera didekati. Sofea kemudian memanggil adik beradik yang lain. "Safura, Suria, cepat datang ke mari. Emak jatuh katil."

Safura dan Suria yang terdengar jeritan kakaknya itu terus meluru ke dalam bilik. Mereka sayu melihat ibu mereka yang longlai di atas lantai. Lalu dengan kudrat yang ada mereka cuba mengangkat ibu mereka ke atas katil. Mak Jah mengeluh kesakitan. "Aduh sakitnya badan ku macam ditusuk jarum."

Pada pagi itu juga Sofea membawa ibunya ke klinik yang berhampiran. Setelah diperiksa, doktor yang merawat mendapati tiada apa-apa yang berlaku kepada Mak Jah. Doktor berkata kesakitan yang dialami Mak Jah kerana beliau mungkin bekerja teruk pada hari semalam. Beliau hanya memberi ubat tahan sakit dan ubat demam kepada Mak Jah.

Namun Mak Jah tidak berpuas hati dengan penjelasan doktor. Dia merasakan ada yang tak kena dengan dirinya. Dia hairan mengapa tiba-tiba dia jadi begitu. Sedangkan pada hari sebelumnya dia tidak apa-apa walaupun letih berkebun di belakang rumahnya. Ubat yang doktor beri langsung dia tidak sentuh.

Mak Jah teringatkan kepada Haji Zaini yang tinggal di Kampong Cempedak. Dia diperkenalkan dengan Haji Zaini oleh anak saudaranya Halimah yang pergi berubat dengan Haji Zaini. Pada pandangan Mak Jah, Haji Zaini seorang yang warak. Mukanya bersih. Tutur katanya lemah lembut dan berakhlak. Mak Jah diberitahu, Haji Zaini dianugerahkan Allah kebolehan mengubati orang. Namun tidak ramai yang mengetahui Haji Zaini berkemampuan mengubati orang.

Pada petang esok harinya Mak Jah dengan ditemani oleh Sofea dan anak saudaranya, Osman pergi ke rumah Haji Zaini. Ketibaan mereka disambut mesra isteri Haji Zaini, Hajjah Halimah. Menurut Hajjah Halimah, Haji Zaini sedang berwirid di atas sejadah. Amalan itu telah lama diamalkannya. Tidak lama kemudian Haji Zaini pun keluar daripada biliknya. Beliau terus ke ruang tamu. Mak Jah menunggu dengan penuh debaran. Namun dengan wajah yang tenang Haji Zaini mendekati mereka. Beliau seolah-olah tahu apa yang terkandung di dalam hati Mak Jah.

"Assalamualaikum, Apa khabar?" Sapa Haji Zaini lembut.

"Khabar baik." Jawab Mak Limah. Dia seolah-olah tidak sabar meluahkan apa yang terkandung di dalam lubuk hatinya.

"Bagaimana kesihatan Mak Jah? Dah sihat ke?" Lontaran soalan dari Haji Zaini membuatkan Mak Jah terpaku.

"Bagaimana Haji Zaini boleh tahu nama aku dan masalah aku?" bisik Mak Jah di dalam hatinya. Namun bisikan hatinya dipendamkan sahaja.

Dengan ditemani Osman dan Sofea, Haji Zaini membawa mereka ke satu sudut di rumah dan meminta Mak Jah bersabar menempuh dugaan yang mendatang. Beliau harap Mak Jah tabah menghadapi ujian yang mendatang dan banyak bergantung dan berserah kepada Allah. Mulut Haji Zaini kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kemudian beliau menghembus ke kiri dan kanan. Beliau kemudian membacakan ayat suci al-Quran ke dalam semangkuk air kelapa yang dibawa oleh Mak Jah. Setelah air kelapa itu dijampi dia meminta agar Mak Jah meminumnya. Tidak berapa lama kemudian Mak Jah tiba-tiba rasa kurang enak di kerongkongnya. Tekaknya terasa mual. Lalu Haji Zaini menyuruh diletakkan besen di hadapan Mak Jah. Serentak itu juga terhambur muntah yang busuk berwarna kekuningan dari mulut Mak Jah. Juga kelihatan beberapa helai rambut yang tersimpul erat. Selepas muntah barulah Mak Jah rasa selesa. Pernafasannya yang sebelum ini tersekat-sekat pulih kembali. Debaran yang melandanya sebelum ini juga kembali reda.

Haji Zaini kemudian memberi Mak Jah air minuman yang telah dijampi untuk memulihkan tenaga dan semangatnya. Beliau kemudian meminta Mak Jah mengamalkan beberapa ayat-suci al-Quran sebagai pendinding dari sebarang musibah. Kemudian dengan tenang Haji Zaini berkata, "Saya harap Mak Jah banyak bersabar. Apa yang berlaku ini adalah ujian buat keluarga Mak Jah. Ada orang yang kurang senang dengan Mak Jah. Nasib baiklah Mak Jah datang awal. Jika tidak tak tahulah saya bagaimana nak kata? Banyakkan pergantungan dengan Allah. Insya-Allah kita akan sentiasa berada dalam peliharaanNya. Berhati-hatilah selalu. Yang pasti, jangan lupa membaca Bismillah setiap kali ingin menghadapi makanan. Insya-Allah kita akan sentiasa terpelihara. Berhati-hatilah selalu. Mungkin ada orang yang tidak senang dengan kita." Haji Zaini tidak memberitahu siapa pula yang beranggungjawab menganiaya Mak Jah.

Nasihat tersebut didengar dengan penuh perhatian oleh Mak Jah. Namun di dalam hatinya penuh tanda tanya. Siapa yang punya angkara. Namun persoalan yang berlegar-legar di kepalanya itu cuba dibuang jauh-jauh. Dia mahu membersihkan segala prasangka yang bertapak di pemikirannya. Tekadnya satu, bersikap positif dalam menempuh segala ujian yang mendatang.

Sumber: email fwd

No comments

Powered by Blogger.