Header Ads

Kisah Tauladan Azab Si Tukang Sihir

Suatu petang, saya melawat seorang tua di kampung kami bernama Pak Mat yang sedang nazak di rumahnya. Badan orang tua itu tidak ubah seperti mayat hidup. Tubuhnya sangat kurus macam papan sekeping.
Sekadar Foto Hiasan
Menurut anaknya, ayahnya sudah beberapa bulan terlantar di rumah. Sudah beberapa kali ayahnya seakan-akan hendak meninggal dunia tetapi masih bernyawa.
Pada hari pertama ayahnya sakit, keluarganya menyangka ayahnya hampir saat hendak meninggal. Jiran-jiran membacakan surah Yasin di rumah. Tetapi keadaannya tetap begitu sehingga berbulan-bulan.
Masa mula-mula sakit dulu orang ramai berkunjung melawat Pak Mat. Tapi sekarang tiada lagi sesiapa melawat sebab orang kampung menganggap Pak Mat sakit tua.
Balik dari melawat Pak Mat saya ceritakan keadaan itu kepada mak. Mak terkejut mendengar berita Pak Mat sedang sakit tenat tetapi masih bernyawa.
“Huh! Padan muka dia. Dulu jahat sangat. Sekarang rasakanlah!” balas mak.
Saya terkejut mendengar kata-kata mak. Kenapa pula mak marah-marah kepada Pak Mat sedangkan orang tua itu sedang bertarung nyawa. Tak patut mak cakap begitu!
“Kenapa pula mak cakap macam tu? Kan orang tua tu tengah nazak, nak meninggal!” kata saya.
Saya mengagak tentu ada sesuatu peristiwa pernah terjadi pada mak. Mungkin Pak Mat pernah lakukan perbuatan yang dibenci mak. Kalau tidak, takkanlah mak boleh keluarkan kata-kata kesat seperti itu.
“Dia buat apa dulu mak?” soal saya.
“Kau tengok bapak kau tu. Kau ingat dia tergaru-garu tu sebab penyakit kulit biasa ke? Kalau kau nak tau, orang itulah yang buat bapak kau jadi macam ni!” balas mak.
Saya jadi pelik memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Bapa saya dari dulu memang mempunyai penyakit kulit yang tidak pernah sembuh. Puas berubat. Jumpa berpuluh bomoh pun tak dapat menyembuhkannya. Habis ubat hospital dicuba tetapi masih tidak berkesan.
Saya Tanya mak lagi, apa Pak Mat buat pada ayah dulu?
“Panjang ceritanya… kisah ni masa mak muda-muda dulu!” beritahu mak.
Mengikut cerita mak, semasa zaman muda dulu, isteri Pak Mat pernah tergila-gilakan ayah. Tetapi ayah tidak berminat dengan cinta isteri Pak Mat. Cinta isteri Pak Mat ditolak oleh ayah. Tapi isteri Pak Mat tetap gila bayang. Mak bercerita isteri Pak Mat pernah membayangkan sedang berasmara dengan ayah ketika bersama suaminya.
Sewaktu mula terkena santau, mak memberitahu ayah terlangkah sesuatu yang pelik di luar rumah. Rupa benda yang dilangkah ayah seperti paku, miang buluh, kaca dan beberapa lagi peralatan bomoh.
Pada sebelah malamnya sesuatu yang pelik berlaku pada ayah. Seluruh tubuh ayah terasa gatal. Ayah menggaru-garu sampai ke siang. Sepanjang malam ayah tak boleh tidur.
Esoknya, mak memberitahu badan ayah dipenuhi luka dan darah akibat digaru. Serata badan habis dipenuhi bintik-bintik gatal. Badan ayah terasa bisa seperti dilumur dengan miang buluh.
Mak bercerita, ayah melarang abang supaya jangan melangkah benda yang dilangkahi ayah semalam yang masih terdapat di luar rumah kami. Tetapi abang berdegil dan tidak mengendahkan larangan ayah.
Kata mak, abang tidak percaya dan menganggap semua itu karut dan dongeng belaka. Tapi, sebaik abang melangkah, berlaku pula satu kejadian pelik. Mak memberitahu, abang pula mengadu sakit ari-ari dan tidak boleh kencing.
Pelik! Puas abang meneran tidak juga kencing sepanjang hari. Esoknya sama. Hampir seminggu abang tidak kencing. Akhirnya kata mak selepas berubat dengan seorang ustaz, abang boleh kencing semula.
Tapi penyakit ayah terasa bisa dan miang seluruh badan tetap tidak juga sembuh. Kata mak, sudah berpuluh orang bomoh dicuba untuk berubat tetapi tiada yang berjaya. Ayah pernah pergi sampai ke Terengganu untuk berubat.
Di sana kata mak, ayah berubat dengan seorang bomoh. Melalui bomoh itulah ayah diberitahu terkena santau perbuatan orang yang dengki hendak menghancurkan keluarga kami.
Walaupun mak tahu siapa orang yang menyantau ayah tapi perkara itu sengaja didiamkan. Mak tidak mahu kecoh. Mak tidak mahu bergaduh dan mengeruhkan keadaan. Bagi ayah biarlah Allah saja yang membalas perbuatan orang yang menyantaunya.
Begitulah kisah yang diceritakan mak. Saya termenung mendengarnya. Paling mengejutkan kejadian santau ini berlaku kepada ayah saya sendiri.
Bayangkanlah sampai hari ini ayah masih menderita akibat disantau 18 tahun lalu. Rupa-rupanya kisah santau ini benar-benar wujud. Selama ini saya sendiri tidak percaya. Malah saya percaya ramai lagi orang tidak percaya apabila diberitahu ada yang terkena santau.
Malah ada orang tidak percaya apabila diberitahu azab santau begitu dahsyat sekali.
Tapi yang paling mengejutkan saya, orang yang terlibat membuat kerja santau kepada ayah ialah lelaki tua yang pernah saya melawatnya. Saya mula terasa marah. Mengapa orang tua itu sanggup membuat kerja yang dilaknat lagi dikutuk Allah itu? Tidak terfikirkah orang tua itu akibat buruk yang akan menimpanya kelak, menerima balasan Allah?
Tanpa diduga beberapa hari selepas saya melawat, anak-anak Pak Mat datang beramai-ramai ke rumah kami. Anak-anaknya dengan rendah hati menjemput kami sekeluarga ke rumah mereka.
Menurut anak-anak Pak Mat ada perkara penting yang hendak dibincangkan mengenai orang tua mereka yang sedang azab. Kami sekeluarga bersetuju untuk datang.
Sampai di rumah Pak Mat, kedua-dua orang tua saya terkejut melihat keadaannya. Tulang rusuk Pak Mat boleh dibilang dengan jari. Pipinya cengkung dan bunyi dengkuran nafasnya begitu kuat.
Mak lalu bertanya mengapa keluarga Pak Mat menjemput kami. Anak-anak Pak Mat memberitahu ayah mereka ingin meminta maaf kepada keluarga kami di atas perbuatan lampaunya.
Isteri dan anak-anak Pak Mat menangis teresak-esak memujuk kami supaya memaafkan saja perbuatan tersebut. Anak-anaknya menyatakan mungkin ayah mereka susah hendak meninggal selagi kesalahannya tidak dimaafkan oleh ibu dan ayah saya.
Mak pada mulanya agak dingin,Mak tidak mahu memaafkan Pak Mat apabila mengenangkan perbuatannya menyeksa ayah melaui santau. Tapi mak kalah dengan pujukan ayah.
Kata ayah tidak ada gunanya berdendam dengan orang yang tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Biarkanlah rohnya pergi dengan aman dan tenang. Selagi mak dan ayah tidak memaafkan Pak Mat selagi itulah orang tua itu hidup seperti mayat bernyawa.
Lagipun kata ayah perbuatan yang dilakukan Pak Mat sudah berbelas tahun berlalu. Tiada guna dendam mendendam. Akhirnya mak dan ayah bersetuju memaafkan perbuatan Pak Mat.
Bagi mak biarlah kisah ini menjadi pengajaran dan teladan bagi anak-anaknya yang masih hidup. Mak mengingatkan biar betapa kuat seseorang setiap yang hidup pasti akan mati.
Dua minggu selepas mak dan ayah memaafkan perbuatan Pak Mat, orang tua itu meninggal dunia. Biarpun orang tua itu sudah dimaafkan dan meninggal tetapi ayah saya masih lagi menderita akibat perbuatannya.
Walaupun kisah ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi elok saya ceritakan untuk kita bersama-sama mendapat iktibar dan tidak melakukan kerja-kerja syaitan.
Bukankah Allah telah berfirman, sihir itu adalah perbuatan keji dan mengikut jejak langkah syaitan?

Sumber : OhPilihanku

No comments

Powered by Blogger.